Latar Belakang

Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (Sustainable Forest Management) [MC&I (Sustainable Forest Management)] adalah standard yang digunakan untuk pensijilan pengurusan hutan semula jadi di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme-MTCS). MC&I (Sustainable Forest Management) adalah hasil semakan semula MC&I (2002) yang dijalankan oleh 15 orang ahli Jawatankuasa Semakan Semula Standard (Standards Review Committe-SRC)  dari April 2009 hingga September 2011. MC&I (Sustainable Forest Management) mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2012.

Selaras dengan Peraturan-Peraturan mengenai Proses Penetapan Standard untuk Pembangunan Standard Pensijilan Kayu dan sebagai skim yang disahkan di bawah Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC), setiap standard pengurusan hutan di bawah MTCS adalah dikehendaki untuk menjalani semakan semula dalam tempoh tidak lebih daripada lima tahun. Ini adalah untuk memastikan bahawa standard itu sentiasa dipertingkatkan dan kekal relevan serta terkini, dengan mengambil kira perkembangan terbaharu dalam teknologi dan sistem pengurusan.

Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (Sustainable Forest Management) [MC&I (Sustainable Forest Management)] telah direka untuk menyokong dan mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan di dalam kawasan operasi pengurus hutan, di mana pematuhan undang-undang adalah keperluan minimum. Ia adalah set keperluan-keperluan yang menyokong pencapaian pengurusan hutan mampan yang mana berkemungkinan melangkaui had perundangan minimum untuk memenuhi keperluan pensijilan daripada aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Standard ini disusun sejajar dengan sembilan (9) Prinsip seperti berikut:

    • Prinsip 1: Pematuhan kepada Undang-Undang
    • Prinsip 2: Hak Pegangan dan Penggunaan serta Tanggungjawab
    • Prinsip 3: Hak-Hak Orang Asal
    • Prinsip 4: Hubungan Masyarakat dan Hak-Hak Pekerja
    • Prinsip 5: Faedah-Faedah daripada Hutan
    • Prinsip 6: Impak Alam Sekitar
    • Prinsip 7: Rancangan Pengurusan
    • Prinsip 8: Pemantauan dan Penilaian
    • Prinsip 9: Penyelenggaraan Kawasan yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan yang Tinggi

Keperluan-keperluan dalam standard ini diguna pakai untuk kedua-dua hutan asli dan ladang hutan kecuali dinyatakan secara khusus dalam Kriteria atau Petunjuk atau Verifier, dan mesti dipatuhi sepanjang aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam Unit Pengurusan Hutan (FMU) sama ada oleh pemilik, pengurus, kontraktor, pengendali atau pekerja-pekerja yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pengurusan FMU. Sehingga kini tujuh (7) FMU iaitu negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah telah menerima Sijil Pengurusan Hutan di bawah standard MC&I SFM yang melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 4.054 juta ha. Dokumen standard MC&I SFM adalah seperti di Lampiran 1