Penilaian Impak SosialĀ
Aspek sosial merupakan perkara penting dalam standard pengurusan hutan iaitu Kriteria dan Petunjuk Bagi Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang dioperasikan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Dalam mengambil kira aspek sosial ini, MC&I menetapkan bahawa pengurus Unit Pengurusan Hutan (FMU) perlu berunding dengan individu dan kumpulan yang mungkin terjejas secara langsung akibat operasi pengurusan hutan dalam HSK.
Penilaian Impak Sosial ditakrifkan sebagai satu proses yang mengenalpasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat berkaitan impak positif dan negatif sesuatu polisi, pelan, program, projek atau operasi yang dirancang ke atas komuniti dan seterusnya mencadangkan langkah mitigasi untuk mengelak atau mengurangkan impak sosial negatif sambil mengesyorkan langkah untuk mempertingkatkan lagi impak yang menguntungkan.
Impak sosial akibat operasi berkenaan juga perlu dinilai, dan keputusan penilaian tersebut diambil kira dan digabungkan dalam perancangan dan amalan pengurusan FMU tersebut. MC&I juga memerlukan pemantauan keberkesanan tindakan yang telah diambil untuk mengurangkan impak negatif atau meningkatkan impak positif sosial akibat operasi hutan ke atas pihak yang terbabit. Dalam konteks Semenanjung Malaysia, individu dan kumpulan yang mungkin lebih terjejas oleh operasi hutan adalah orang asli dan/atau masyarakat tempatan yang tinggal di dalam atau berhampiran Hutan Simpan Kekal (HSK).
Aktiviti pengusahasilan hutan merupakan operasi terpenting dari segi impak ke atas alam sekitar. Justeru, aktiviti pengusahasilan hutan dikehendaki akur kepada keperluan seperti pembalakan berimpak rendah (RIL) untuk mengurangkan impak sedemikian.
Kepentingan HSK bagi komuniti orang asli dan penduduk tempatan adalah dijadikan tempat tinggal, melakukan aktiviti ekonomi untuk menyara hidup dan untuk tujuan sosio-budaya. Hal ini termasuklah mengumpul hasil hutan, memburu, mengusahakan dusun buah-buahan dan tempat pengebumian. Komuniti orang asli dan tempatan mungkin juga bergantung kepada bekalan air dari HSK untuk kegunaan domestik atau pertanian.
Aktiviti pengusahasilan di HSK mungkin mewujudkan kesan positif seperti pekerjaan dan pendapatan tambahan tetapi memberi kesan negatif seperti kerosakan atau kemusnahan dusun buah-buahan, kawasan pertanian dan pengebumian serta pencemaran air sungai untuk pelbagai kegunaan seperti minuman, masakan, mandian dan basuhan.
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mencadangkan beberapa langkah mitigasi yang bersesuaian untuk mengelak atau mengurangkan Impak Sosial Negatif berdasarkan kepentingan Komuniti Orang asli/ Tempatan seperti yang tersenarai di atas.
Perumusan Program Pemantauan Untuk Menilai Langkah Mitigasi/ Peningkatan Selepas Langkah Mitigasi Dilaksanakan
Langkah pemantauan ini adalah termasuk pemantauan kepatuhan dan pemantauan impak. Oleh kerana impak sosial pengusahasilan hutan atau penukaran hutan pada keseluruhannya hanya akan menjadi ketara selepas jangka masa yang panjang, maka pemantauan kepatuhan langkah mitigasi/peningkatan adalah penting dan perlu diberi keutamaan oleh pengurus FMU. Dalam memantau kepatuhan tindakan mitigasi/peningkatan, kaedah penyemakan kepatuhan yang mudah dan praktikal dari segi ekonomi harus digunakan. Pemantauan impak pula perlu diteliti bagi setiap kemungkinan impak negatif yang telah dikenalpasti hasil aktiviti operasi hutan.
Laporan Penilaian Impak Sosial Yang Telah Dibuat