Kawasan hutan juga merupakan habitat untuk hidupan liar dan pelbagai jenis fauna. Populasi fauna adalah penting sebagai sebahagian daripada sistem alam semula jadi, memainkan peranan sebagai bio-indikator untuk menunjukkan ekosistem hutan di dalam keadaan baik dan berfungsi. Sumber ini juga dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan menyumbangkan nilai-nilai estetik, kepelbagaian hayat, bentuk, saintifik, kebudayaan, rekreasi dan ekonomi.

Terdapat pelbagai spesies binatang dan burung liar di bawah pelbagai tahap perlindungan (Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan CITES of Wild Fauna and Flora 1973) di dalam kawasan HSK di negeri ini. Tahap-tahap ini termasuklah binatang dan burung liar yang dilindungi sepenuhnya dan lain-lain kategori hidupan liar dengan tahap perlindungan tersendiri di bawah peruntukan perundangan seperti yang disenaraikan dalam apendik-apendik CITES.

Kajian telah dijalankan oleh PERHILITAN (1993) di Hutan Simpan Gunong Inas di Negeri Kedah dan Hutan Simpan Gunong Hijau di Negeri Perak meliputi kawasan seluas 4 200 hektar. Hasil kajian menunjukkan terdapat 12 spesies mamalia besar di kawasan hutan-hutan tersebut berdasarkan kepada bilangan hidupan liar yang telah diinventori di atas laluan (track count). Mamalia ini termasuk badak kerbau (Dicerorhinus sumatrensis), gajah (Elephas maximus), harimau belang (Panthera tigris corbetti), badak cipan (Tapirus indicus), kambing gurun (Capricornis sumatrensis), kijang (Muntiacus munjak), babi hutan (Sus scrofa), Malayan porcupine (Hystrix brachyra), kera (Macaca fascicularis), long-tailed porcupine (Trichys lipura), lotong kelabu (Presbytis cristata), lotong cenekah (Presbytis melalophus). Terdapat juga dua spesies mamalia kecil yang jarang ditemui dan telah dijumpai termasuk tupai kerawak hitam (Ratufa bicolor) dan memerang kecil oriental (Aonyx cinrea). Daripada pemerhatian langsung sebanyak 52 spesies burung-burung telah dijumpai di kawasan hutan tersebut.

Kajian juga dibuat oleh PERHILITAN pada tahun 1993 mengenai hidupan liar di Hutan Simpan Ulu Muda. Hasil kajian menunjukkan terdapat 17 spesies mamalia besar di kawasan hutan tersebut termasuklah gajah, badak cipan, harimau bintang (Panthera pardus), rusa (Cervus unicolor), seladang (Bos gaurus), harimau belang, harimau dahan (Neofelis nebolusa), kijang, babi hutan, beruang (Herlarctos malayanus), kambing gurun, kera, beruk (Macaca nemestrina), lotong cenekah, lotong cengkong (Presbytis obscura), ungka (Hylobates lar) dan wak-wak (Hylobates agilis).

Di dalam Hutan Simpan Ulu Muda, terdapat juga sira dan jenut yang amat penting untuk bekalan bahan-bahan galian dalam kehidupan dan pemeliharaan hidupan liar. Sira dan jenut yang wujud serta kerap digunakan oleh hidupan liar di dalam hutan ini termasuk Sira Batu, Sira Hangat, Sira Keladi, Sira Jawa, Sira Bongor, Sira Pongsu dan Sira Tera yang kebanyakannya terletak di persekitaran empangan. Oleh itu beberapa kawasan tertentu di Hutan Simpan Gunong Inas dan Hutan Simpan Ulu Muda sesuai untuk dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar dan akan diambil kira dalam Rancangan Pengurusan Hutan ini.

Powered By EmbedPress